PM punca golongan muda protes – Zahid

0
2

TINDAKAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu berundur secara terhormat selepas didesak pelbagai badan politik dan anggota masyarakat kerana kegagalan menangani wabak Covid-19, menyebabkan golongan muda turun ke jalanan melakukan protes.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun ramai pihak kurang bersetuju dengan tindakan demikian, namun mereka dilihat mahu menzahirkan protes terhadap sebuah kegagalan yang berterusan.

Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan yang sedemikian, dalam keadaan negara yang sedang berjuang membendung wabak jangkitan Covid-19 yang tidak pernah menunjukkan kadar penurunan sehingga sekarang.

Menurutnya, kumpulan yang berdemonstrasi di ibu negara semalam perlu melakukan ujian saringan secara sukarela demi keselamatan diri dan orang di sekeliling mereka.

“Setiap nyawa rakyat Malaysia adalah berharga. Kita tidak sanggup kehilangan lebih banyak jiwa tidak bersalah.

“Tetapi dalam masa sama kita mengerti mengapa anak-anak muda Malaysia ini sanggup mengambil risiko itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kumpulan terbabit mendesak Perdana Menteri supaya berundur dan meletak jawatan selepas melihat perbuatan curang kerajaan membelakangi Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Secara terang-terang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja pemerintah.

“Jika Perdana Menteri akur kepada desakan badan politik dan anggota masyarakat protes itu mungkin tidak berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here