SEBANYAK 23 kawasan membabitkan dua di Sabah dan 21 di Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini, susulan penularan jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kawasan terbabit adalah dua lokaliti di Sabah iaitu, Perumahan Ladang Hibumas 2, Mukim Sungai-Sungai, Beluran dan Kampung Tagibang, Kota Marudu.
Menurutnya, di Terengganu lokaliti yang terbabit adalah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Mukim Jabi, Besut dan 20 lokaliti lain di Mukim Kuala Dungun serta Mukim Sura.
“Mukim Kuala Dungun membabitkan sembilan lokaliti iaitu Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.
“Mukim Sura pula membabitkan 11 lokaliti iaitu Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, semua 23 lokaliti berkenaan dikenakan PKPD bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan empat lokaliti di Sabah dan dua di Kelantan yang dijadualkan tamat PKPD esok dilanjutkan sehingga 16 Ogos ini susulan masih berlaku penularan jangkitan di kawasan berkenaan.
Kawasan terbabit adalah Kampung Lepah dan Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh, Kelantan, manakala di Sabah ialah Ladang Agathis, Kalabakan; Kampung Nosoob, Penampang; Kampung Gusung, Likas; dan Kampung Bakalau, Beaufort.
Menurutnya, sebanyak 27 lokaliti membabitkan 16 di Perak, 10 di Sabah dan satu di Pahang ditamatkan PKPD bermula esok. – Malaysiapost

