Parti liar di kondominium, 17 ditahan

0
3

PASUKAN Task Force OP Covid dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, memberkas 17 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menyertai parti di sebuah kondominium di Manjung, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata serbuan jam 1.15 pagi itu berjaya menahan sembilan lelaki dan lapan wanita berusia 19 hingga 48 tahun didapati sedang menganjurkan parti.

Menurutnya, seramai 16 individu termasuk seorang wanita warga asing dikenakan kompaun sebanyak RM 4,000 seorang kerana terbabit dalam parti berkenaan.

“Tindakan kompaun dikeluarkan kerana menganjurkan aktiviti kehadiran ramai sehingga sukarkan penjarakan sosial di bawah (Peraturan 16) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

“Kesemua yang ditahan kemudian dibawa balik ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati tiga lelaki dan dua wanita dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala seorang Warganegara perempuan Indonesia berusia 35 tahun turut ditangkap mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here