
EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mencadangkan peserta Himpunan Lawan didenda dengan menjadi sukarelawan barisan hadapan termasuk menjadi penggali kubur untuk pengebumian jenazah Covid-19.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menghantar kumpulan berkenaan menjadi sukarelawan termasuk di Pusat Kuarantin, Bilik Mayat Pesakit Covid-19 dan hospital selama dua bulan.
“Saya melihat ini antara cara dan hukuman yang paling sesuai berbanding menghukum dengan penjara dan sebagainya.
“Mereka masih muda dan saya sedih kerana mereka terpengaruh dengan ahli-ahli politik yang menjadi tulang belakang kepada gerakan himpunan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Muqharabbin berkata, kumpulan peserta himpunan berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mereka itu tidak memulihkan keadaan sebaliknya berkemungkinan mencetuskan kluster baharu Covid-19.
“Saya minta mereka sedar yang tindakan mereka bukan memberikan impak positif kepada keadaan baik pulih ekonomi negara atau membawa suara rakyat, tetapi lebih kepada menjadi kluster Covid yang baru.
“Saya risau mereka akan bawa balik penyakit Varian Delta dan lainnya yang disifatkan antara yang paling pantas merebak,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau tidak menyatakan apa yang ingin disuarakan oleh peserta himpunan berkenaan adalah salah namun ia bukan masa yang sesuai.
“Saya tidak menyatakan apa yang kalian ingin suarakan itu salah atau betul. Tetapi tunggulah selepas kita mencapai komuniti vaksin kelompok di Malaysia.
“Kalau kita tidak suka pada kerajaan sekarang sekalipun, tapi simpatilah kepada para barisan hadapan yang bermati-matian menyelamatkan nyawa kita dan keluarga.
“Saya harap anak muda dapat menterjemahkan undi anda semasa PRU 15 nanti. Tapi jangan lupa, sejarah hitam sepanjang Pakatan Harapan memerintah Malaysia selama 22 bulan seperti janji-janji mereka yang tidak ditepati,” katanya.
Terdahulu, polis sedang mengenal pasti penganjur dan peserta yang menyertai satu perhimpunan bantahan di sekitar Dataran Merdeka, di sini, untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati perhimpunan itu disertai kira-kira 400 individu dengan sebahagian besarnya terdiri golongan muda.
Beliau berkata, peserta yang berkumpul di sekitar ibu negara dan berarak ke Dataran Merdeka itu sudah bersurai dengan aman mengikut arahan polis bagi mengelak insiden tidak diingini.
Semalam, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, sejak jam 10 pagi tadi dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.
Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah. – Malaysiapost
