Dhabitah dikedudukan ke-4 terbaik

0
1

ATLET terjun negara Nur Dhabitah Sabri beraksi baik dalam saingan final acara 3 meter terjun papan anjal wanita, Sukan Olimpik Tokyo, hari ini, namun gagal beroleh pingat selepas menamatkan lima terjunan di tempat keempat.

Penerjun berusia 22 tahun yang sentiasa tersenyum itu, meraih kutipan 326.15 mata di belakang peserta Amerika Syarikat, Krysta Palmer ditempat ketiga (343.75), dan dua penerjun China, Wang Han di tempat kedua (348.75) dan juara Shi Tingmao (383.50).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan atlet muda negara itu dan berharap lebih berjaya dalam kejohanan akan datang.

“Terima kasih buat Dhabitah kerana telah mempamerkan aksi yang penuh bertenaga serta konsisten ketika beraksi di final 3m Terjun Papan Anjal Individu Wanita sebentar tadi.

“Bitah menamatkan saingan dengan berada di ranking keempat dengan catatan 326.15 mata. Ini merupakan kedudukan yang lebih baik berbanding di peringkat semi final,” katanya yang turut berada di Tokyo bagi memberikan sokongan kepada kontinjen negara.

Menurutnya, semestinya ia merupakan pencapaian yang patut dibanggakan apabila atlet berkenaan dapat beraksi antara 12 penerjun terbaik dunia di pentas final Olimpik dan mencatatkan keputusan di kedudukan empat terbaik.

“Buat Bitah, jangan putus asa. Teruskan usaha. Saya yakin Bitah boleh ‘beat’ mereka di kejohanan akan datang.
Teruskan semangat #DemiMalaysia!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here