SEBANYAK 417 kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga jam 6.30 pagi ini, manakala 875 kawasan masih dalam proses pemulihan.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air berjadual itu, sudah pulih sepenuhnya.
“Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Kuala Selangor 91.70 peratus, Hulu Selangor (94.12 peratus), Petaling (37.17 peratus), Gombak (11.31 peratus), Klang/Shah Alam (7.91 peratus) manakala Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih di kosong peratus.
“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Elina, Air Selangor telah menyediakan pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat bagi tujuan mendapatan bekalan air bersih.
Katanya lagi, pihaknya akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com. -Malaysiapost

