SEORANG kadi di Johor Bahru, meninggal dunia dipercayai lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di Pulau Tioman, Rompin, Pahang semalam.
Mangsa, Mohd Fahami Abd Samad, 45 melakukan aktiviti skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Azari Miskon berkata mangsa yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor dipercayai mula melakukan aktiviti selaman sekitar tengah hari semalam.
“Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 1.57 tengah hari yang turut memaklumkan perkara itu kepada anggota polis di pulau itu.
“Pemeriksaan awal terhadap mangsa mendapati tiada kecederaan atau luka terbuka pada tubuhnya. Jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam.
Menurut Azari, pihaknya juga sudah merakam percakapan saksi, pegawai perubatan dan jurulatih menyelam bagi membantu siasatan.
Mohd Fahami adalah antara penyelam yang terbabit dalam Program Melarutkan Abu al-Quran ke laut yang berlangsung di Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 26 Ogos lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi menyifatkan pemergian Mohd Fahami sebagai satu kehilangan besar buat warga Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ini kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah didampingi warga JAINJ dan disenangi masyarakat.
“Arwah amat disenangi dan sentiasa mendapat kerjasama daripada masyarakat ketika menjadi kadi di daerah Kulai lagi.
“Saya memang kenal rapat dengan arwah jadi saya rasa ia adalah kehilangan yang amat besar,” katanya
Tosrin berkata, arwah juga sangat komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas serta memastikan setiap amanah dilaksanakan sebaik mungkin.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Mutiara Rini di sini, hari ini, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah Mount Austin untuk dikebumikan. -Malaysiapost

