Individu pakai gelang putih ditahan ingkar PKPD

0
3

SEORANG lelaki yang memakai gelang putih ditahan polis kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Emco).

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di Ambangan Height, Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu ditahan di hadapan rumah kongsi 6, Bedong, dan gagal memberi alasan munasabah keluar dari kawasan Emco.

“Kejadian berlaku jam 11.45 pagi tadi ketika anggota peronda Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bedong sedang menjalankan tugas di kawasan itu.

“Anggota terbabit ternampak lelaki berkenaan memakai gelang putih dan mendapati dia melanggar syarat kuarantin tanpa alasan munasabah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Adzli berkata, lelaki itu mengaku keluar dari rumahnya di Taman Bayu Indah 2, Bandar Amanjaya ke rumah kongsi untuk bertemu anaknya.

” Dia turut mengaku keluar rumah sejak 31 Ogos lalu jam 5 petang melalui sekatan jalan raya (SJR) 2,” katanya.

Susulan itu, polis mengambil keterangan lanjut lelaki yang bekerja sendiri dan berasal dari Ipoh tersebut, sebelum dilepas dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan/Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. -Malaysiapost