MESKIPUN hanya dua saat perenang negara Welson Sim Wee Sheng muncul di kaca televisyen ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun kelibatnya itu telah mencuri perhatian penonton khususnya dari China yang kagum kekacakkan perenang itu.
Walaupun kekacakkan Welson terlindung di sebalik pelitup muka, namun ramai mula jatuh hati dengannya sehingga atlet berusia 24 tahun itu menjadi buruan di media sosial di negara itu.
Sejak itu, nama dan gambar anak kelahiran Sarawak itu tular apabila netizen di China mula ‘menyelongkar’ bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk mengetahui siapakah individu kacak di sebalik pelitup muka tersebut.
Ada pula berkongsi paparan skrin wajah Welson yang diambil ketika berarak di Sina Weibo iaitu laman sosial mirip Twitter di China dan tidak kurang pula ada berkongsi maklumat mengenainya sehingga perbualan tentang Welson menjadi trending di China.
“Ada shuai ge (lelaki kacak) dalam pasukan Malaysia,” tulis seorang pengguna Sina Weibo.
Manakala tinjauan di Instagram, para peminat dari negara tembok besar itu telah membajiri akaun Instagram Welson, menulis komen di gambar-gambar Welson dengan nama timangan ‘Malaysian Flying Fish Prince’.
Bagaimanapun aksi Sim di Olimpik Tokyo 2020 tidak semeriah di laman Instagram, apabila Welson yang bertanding menerusi dua kategori iaitu 400 meter dan 200 meter gaya bebas lelaki gagal dalam saringan awal.
Dalam saringan 400 meter gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Tokyo itu, Welson sekadar mengakhiri saingan di kedudukan ke-33 daripada 36 perenang yang bertanding dengan catatan 3 minit 58.25 saat.
Lebih mengecewakan, atlet tersebut tidak berupaya mengatasi rekod peribadi iaitu 3:49.29s yang dilakukan di Kejohanan terbuka NSW Sydney, Australia 2019 dan juga gagal menyamai rekod terbaiknya sewaktu di Olimpik Rio (2016) 3:51.57s.
Kegagalan itu menurut jurulatihnya, Chris Martin disebabkan Welson bergelut akibat patah tangan berikutan kemalangan motosikal pada Mac lalu. – Malaysiapost

