YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi kenyataan Istana Negara di Facebook hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada perwira ATM dan PDRM khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan tanpa mengira masa serta penat lelah dalam membantu memerangi penularan wabak Covid-19.
“Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta,” menurut kenyataan Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas dan melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Sesungguhnya jerit perih mereka, pejuang tanah air seketika dahulu dan masa kini adalah demi negara kita yang berdaulat.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” menurut kenyatan itu. – Malaysiapost

