BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan Kerajaan Perikatan (PN) yang menamatkan proklamasi darurat secara ‘backdate’.
Malah Najib berkata, tindakan kerajaan PN tanpa merujuk Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu jelas menidakkan peranan Jawatankuasa Bebas Darurat yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.
“Mula-mula ditubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihat bila masa paling sesuai untuk tamatkan Darurat. Dikatakan keputusan Jawatankuasa akan telus dan nasihat adalah berdasarkan data dan sains.
“Lalu, kabinet batalkan Darurat secara backdate tanpa merujuk sesiapa termasuk YDP Agong. Akhirnya dikatakan kabinet tak perlu dengar nasihat Jawatan Kuasa Bebas Darurat.
“Jadi, korang tubuh Jawatan Kuasa itu untuk apa?,” soal Najib di Facebook.
Najib berkata demikian susulan tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu di Dewan Rakyat bahawa proklamasi darurat telah dimansuhkan.
Takiyuddin turut memaklumkan pemansuhan itu menyebabkan enam Ordinan Darurat turut terbatal, berkuatkuasa 21 Julai lalu.
Pemberitahuan itu telah menyebabkan pembangkang tidak berpuas hati dan mempertikaikan sama ada pemansuhan darurat itu telah mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong atau sebaliknya.
Namun Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata beliau akan menjelaskannya pada Isnin hadapan.
Bagaimanapun kenyataan Takiyuddin itu terbukti tidak benar apabila Yang di Pertuan Agong menerusi kenyataannya Khamis lalu telah menzahirkan amat dukacita susulan tindakan pemansuhan darurat itu tidak mendapat perkenan baginda dan telah mengelirukan Dewan Rakyat.
Susulan itu, Sidang Khas Parlimen pada Khamis lalu tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditangguh empat kali sebelum Timbalan Speaker memutuskan penangguhannya sehingga jam 10 pagi , Isnin ini. – Malaysiapost

