MENTERI Umno dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar meletakkan jawatan dengan segera, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Mohd Puad berkata, perletakan jawatan dalam Kabinet Kerajaan PN itu dapat menghindarkan mereka daripada terpalit konflik antara kerajaan dengan Istana Negara ketika ini.
“Menteri Menteri Umno juga mesti letak jawatan supaya Umno tidak terpalit dengan penderhakaan ini. Letak jawatan segera,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas mengenainya, Mohd Puad berkata, tindakan Yang di-Pertuan Agong mengutus warkah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah menceritakan segalanya.
“Semalam YDP Agong menulis warkah empat muka surat yang baginda sendiri tanda tangan.
“Ia menjelaskan kronologi sebenar kenapa baginda tidak memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Justeru, Muhyiddin mesti letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Kerosakan akan berterusan kerana ia mengheret negara kepada krisis perlembagaan yang serious,” katanya.
Semalam, tersebar di media sosial dipercayai warkah diutuskan Yang di-Pertuan Agong kepada Muhyiddin untuk menjustifikasi butiran kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri sehari sebelum itu.
Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang pengesahan kebenaran warkah yang diutuskan Yang di-Pertuan Agong itu. – Malaysiapost

