AHLI-ahli Parlimen Umno perlu menjauhkan diri daripada kerajaan yang telah berkali-kali tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
Pendirian itu disarankan Puteri Umno, seiring dengan asas dan matlamat penubuhan parti itu untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno.
“Jika bukan kita mempertahankan Institusi Raja Berpelembagaan, maka siapa lagi,” kata Ketuanya, Zahida Zarik Khan menerusi kenyataan hari ini.
Zahida berkata, Puteri Umno turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.
Katanya, tindakan itu perlu setelah pengumuman pembatalan Ordinan-ordinan darurat tempoh hari telah membelakangi Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.
“Tindakan ini juga bagi kami satu bentuk penderhakaan kepada Tuanku bahkan tidak menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – Malaysiapost

