Ahli-Ahli Parlimen Umno perlu zahirkan keputusan MKT – Pemuda Umno

0
2

PEMUDA Umno mendesak Ahli-Ahli Parlimen parti itu menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Desakan itu dibuat Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan kenyataan media dikeluarkan Istana Negara hari ini berkenaan isu Ordinan Darurat.

“Sebagai parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan Umno, Umno tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Muhyiddin terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Julai lalu, mesyuarat MKT Umno mengambil keputusan menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri, antara lain kerana kerajaan gagal memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama.

Asyraf Wajdi berkata, kenyataan Istana Negara mendedahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahas di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan kerajaan PN itu jelas suatu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

Justeru Syraf Wajdi berkata, Pemuda Umno mendesak Muhyiddin segera meletak jawatan kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here