PASAR Awam Batu Lanchang, Jelutong di Georgetown membabitkan 18 gerai, ditutup serta-merta bermula hari ini susulan tujuh peniaga dan pembantu gerai didapati positif Covid-19.
Penutupan itu berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan pasar awam dan jalan ke premis berkenaan dilakukan bagi kerja sanitasi dan disinfeksi.
“MBPP juga akan menjalankan penilaian risiko Covid-19 di pasar awam itu bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.
MBPP turut memaklumkan, seramai 68 orang berstatus ‘risiko tinggi’ (high risk) sudah mengunjungi pasar awam terbabit, pada 25 Julai lalu.
“Justeru, orang ramai diminta mengambil perhatian terhadap penutupan premis berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, MBPP menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksanakan dengan baik pada setiap masa.
“Individu yang berstatus risiko tinggi dalam aplikasi MySejahtera adalah dilarang masuk ke dalam premis pasar dan kompleks makanan.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – Malaysiapost

