Tanpa pelitup muka, lelaki didakwa hina gelandangan dikompaun

0
3

SEORANG lelaki yang videonya menghina warga emas di sebuah pusat transit gelandangan, Kuala Lumpur, tular di media sosial dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki tersebut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 5.20 petang tadi untuk dirakam keterangan.

Katanya, polis mengesan satu rakaman video berdurasi 49 saat di media sosial menunjukkan seorang individu tidak memakai pelitup muka memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam ketika individu terbabit menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 gelandangan di pusat transit gelandangan terbabit.

“Justeru, kompaun sebanyak RM1,500 dikeluarkan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di media sosial rata-rata netizen kecewa dengan sikap lelaki terbabit kerana perlakuannya dianggap biadap, sekali gus menjatuhkan air muka warga emas berusia 64 tahun itu.

Netizen turut mengecamnya apabila dia dilihat tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/07/28/netizen-bengang-pengasas-bella-ammara-hina-gelandangan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here