Sistem ‘Door Close Confirmation Unit’ gagal berfungsi punca pintu tren terbuka sendiri

0
2

DAPATAN awal berhubung insiden pintu-pintu tren LRT Tr44 laluan Kelana Jaya terbuka sendiri Isnin lalu, berpunca dari sistem Door Close Confirmation Unit (DCCU) yang gagal berfungsi secara normal.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata terlalu awal untuk menyatakan bahawa punca sebenar adalah kerana kegagalan DCCU tersebut kerana ia juga berkaitan dengan penyelenggaraan dan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tren ketika menghadapi masalah teknikal.

Katanya, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan bahawa insiden berlaku ketika tren tersebut bergerak antara stesen LRT Ara Damansara menghala ke stesen LRT Lembah Subang.

Ketika kejadian, beliau berkata, terdapat tujuh penumpang di dalam tren tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Pihak APAD telah mengambil tindakan serta-merta dengan membuat siasatan dan mengarahkan Rapid Rail selaku operator untuk membuat siasatan rapi termasuk memberi laporan Rekod Penyelenggaraan Tren 44 sebelum berlakunya insiden tersebut dengan segera.

“Seterusnya mengambil tindakan penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk memastikan insiden sama tidak berulang terhadap mana-mana perkhidmatan kereta api di bawah seliaan mereka.

“Pihak Rapid Rail juga diarah untuk memberi laporan Siasatan Awal Insiden dalam masa tujuh hari atau sebelum 2 Ogos 2021 dan Laporan Siasatan Penuh beserta semua dokumen sokongan dalam masa 21 hari atau pada 16 Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata tindakan selanjutnya ke atas pengendali berlesen perkhidmatan kereta api tersebut akan diputuskan setelah laporan lengkap dan maklumat penuh mengenai insiden tersebut diperolehi.

Beliau menambah pihak APAD akan membuka kertas siasatan bagi kes ini dan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Di bawah Akta 715, aspek keselamatan merupakan suatu keutamaan dan syarat di bawah lesen pengendali perkhidmatan kereta api. Semua pengendali pengangkutan awam darat serta mana-mana orang yang terlibat di dalam perkhidmatan kereta api hendaklah menitikberatkan aspek keselamatan dalam pengendalian perkhidmatan masing-masing.

“Kementerian dan APAD kesal dengan insiden ini dan tidak akan bertoleransi terhadap sebarang elemen kecuaian dan menegaskan bahawa mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here