SPRM junjung kasih titah Sultan Selangor

0
1
Sultan Selangor

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan penghargaan baginda kepada pihak SPRM yang melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata titah Sultan Selangor itu melambangkan keprihatinan dan ketegasan baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di Selangor yang terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di negeri itu.

“Saya juga sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dengan bukti-bukti kukuh.

“Ini bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Azam berkata SPRM menyeru orang ramai termasuk rakyat Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap titah Tuanku Sultan, supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Terdahulu hari ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita apabila mendapat tahu terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perbuatan itu boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menerusi kenyataan turut memaklumkan, Sultan Selangor menzahirkan penghargaan baginda kepada SPRM yang melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

“Baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas menerima hukuman sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here