Polis akan panggil 6 wartawan ceroboh PKRCB MAEPS

0
2

POLIS akan memanggil enam pengamal media dari pelbagai agensi untuk dirakam keterangan kerana menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya telah mengenal pasti wartawan terbabit yang memasuki zon kuning PKRCB berkenaan bersebelahan tempat pesakit kategori tiga dan empat.

“Kita menerima laporan daripada pengarah MAEPS pada jam 4 petang semalam, yang mendakwa wartawan itu masuk kawasan berkenaan tanpa kebenaran. Di tempat itu ada zon hijau, kuning dan merah.

“Wartawan yang masuk itu tidak memakai pakaian pelindung diri (PPE), sebaliknya hanya memakai pelindung serta pelitup muka.

“Justeru, kita akan panggil wartawan yang terlibat, kita juga sudah kenal pasti mereka dan akan segerakan siasatan kerana tidak mahu orang ambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu ini,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi turut menjelaskan pihaknya merakam percakapan 12 petugas kesihatan di PKRCB MAEPS kelmarin, hanya berkaitan pencerobohan berkenaan bukan isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak.

“Mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan isu pencerobohan fasiliti kesihatan itu membabit enam wartawan dari pelbagai agensi, pada hari sama,” katanya.

Arjunaidi juga enggan mendedahkan identiti enam wartawan yang memasuki secara serentak ke fasliti itu.

Katanya, beliau mahu perkara itu disiasat secepat mungkin bagi mengenal pasti pihak ketiga yang terlibat membawa petugas media masuk ke kawasan berisiko tinggi itu.

“Tindakan ini bukan untuk menyekat kebebasan media, namun polis mahu memastikan keselamatan dan kesihatan kesemua enam wartawan bagi mengelak mereka dijangkiti dan menularkan Covid-19.

“Bukan kita nak halang kebebasan bersuara, tapi jadi kesalahan masuk ke kawasan tidak patut dimasuki.

“Kita tak pernah sekat kebebasan media, tapi kita tak akan biar media bunuh diri ke situ. Jadi tanggungjawab kita jaga keselamatan rakyat,” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan media, polis sedang menyiasat laporan berhubung enam pengamal media dikatakan menceroboh PKRCB MAEPS Serdang, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed, dipetik berkata ini berikutan dewan itu diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit Covid-19 yang melarang orang luar memasuki kawasan itu tanpa kebenaran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here