PEMAKAIAN pelitup muka bukan terhad di dalam Dewan Rakyat sahaja, sebaliknya meliputi di seluruh kawasan bangunan Parlimen.
Perkara itu diingatkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon kepada semua Ahli Parlimen agar sentiasa mematuhui Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka sepanjang berada di sekitar bangunan Parlimen.
Beliau berkata, semua Ahli Parlimen mesti mematuhinya bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 yang sekarang ini mudah merebak melalui angin terutama varian Delta.
“Suka saya ingatkan kepada ahli-ahli Parlimen supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di dalam dewan mahupun di luar dewan yang mulia ini.
“Untuk makluman persekitaran bangunan Parlimen ini dipantau oleh pasukan penguatkuasa yang memastikan SOP dapat dipatuhi,” katanya pada hari ketiga Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta ahli Parlimen yang berada supaya menarik penghadang lutsinar semasa duduk di dalam dewan agar ada pemisah antara satu sama lain.
Semalam dilaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Ahmad Tajuddin Abdul Rahman telah dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen ketika persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung.
Ianya disedari pihak polis selepas mengesan ciapan Twitter pemilik akaun @sultanoftasik yang memaparkan gambar Tajuddin melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu pada kira-kira pukul 10 pagi.
Sebelum ini, Tajuddin juga telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung nahas tren Transit Aliran Ringan (LRT). – Malaysiapost

