Pembatalan ordinan darurat tidak berperlembagaan, kata Tok Mat

0
3

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa pembatalan ordinan darurat yang diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam sebagai tidak berpelembagaan.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan kerajaan PN adalah sangat merisaukan jika dibenarkan berterusan dan akan menyebabkan negara menuju ke kancah ‘stealth authoritarianism.

Katanya, kerajaan dilihat menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka ketika negara di dalam krisis.

“Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya. Apa lagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang.

“Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memberdayakan kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi.

“Pembatalan ordinan darurat oleh kerajaan semalam kepada saya adalah tidak berpelembagaan. Pembentangan ordinan berkaitan darurat telah dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen khas. Namun secara tiba-tiba ia telah dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan pembatalan enam ordinan darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai tanpa dibawa ke parlimen.

Pembatalan ordinan berkenaan yang menurut Perlembagaan Persekutuan seharusnya dilakukan melalui parlimen, dilihat mempunyai implikasi serius.

Pengumuman Takiyuddin itu menimbulkan pertikaian dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang dan juga Umno.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan penarikan ordinan darurat secara senyap membuktikan kerajaan PN hilang majoriti dan gagal membeli “katak”.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada ketelusan dalam kerajaan PN yang membatalkan ordinan darurat semalam.

“Semua dilakukan tanpa ketelusan. Tiada pengumuman rasmi, tiada pembentangan di Parlimen, tiada makluman dari Istana Negara dan penwartaan.

“Parlimen bukan medan persendaan. Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional,” katanya.

Tambah Mohamad lagi, Parlimen kini hanya dijadikan ‘rubber stamp’ kepada keputusan Kabinet.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here