Vaksin Sinovac perlu ada harga siling

0
2
sinovac vaccine vaksin

KERAJAAN dicadangkan supaya menetapkan harga siling pemvaksinan Sinovac apabila vaksin berkenaan dijual kepada rakyat selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata penetapan harga siling berkenaan yang meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah amat perlu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata ia supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan Rakyat.

“PAC mengambil maklum bahawa Kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran terbuka bermula Ogos ini dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan berkenaan ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat segera.

“Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan Covid19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi prosiding perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin telah hadir di hadapan PAC untuk kali kedua pada hari ini

Katanya, prosiding berkenaan bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 1 petang dan turut dihadiri Ketua Setiausaha (KSU) MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir serta Timbalan KSU (Pembangunan Teknologi), MOSTI Dr Mohd Noor Azman Hassan.

“PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu ini pada hari esok, 28 Julai 2021 dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Manakala pada minggu hadapan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan berhubung prosiding yang sama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here