Najamuddin Mohd Nor
KEHANGATAN hari pertama Sidang Khas Parlimen bersambung lagi pada permulaan hari kedua sidang hari ini.
Kumpulan pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menamatkan proklamasi darurat telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan sama ada perkara itu mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong.
Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang, yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan tarikh peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.
Bagaimanapun Takiyuddin berkata bahawa beliau akan menjelaskan perkara itu pada sidang Dewan Rakyat, isnin minggu hadapan.
“Saya akan jelaskan pada hari Isnin, saya mendapat petua daripada Speaker untuk menjelaskan pada hari Isnin,” katanya.
Suasana Dewan Rakyat menjadi kecoh, pertikaman lidah antara Takiyuddin dengan para ahli Parlimen pembangkang berlaku beberapa minit.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun mencelah dan meminta Takiyuddin menjelaskannya pada hari ini.
“Sekarang ni mudah sahaja, kita nak tahu dapat perkenan Yang di Pertuan Agong atau tidak, itu sahaja, janganlah berdolak dalih,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh meminta point of order daripada Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan penamatan proklamasi darurat pada 21 Julai yang hanya diumumkan Takiyuddin semalam.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula membangkitkan penamatan ini akan menimbulkan kesan kepada perbicaraan mahkamah berkenaan kesalahan melibatkan akta Ordinan Darurat.
Bagaimnapun, Azalina dapat mengawal suasana Dewan Rakyat dengan meminta semua ahli Parlimen bersabar dan mendengar penjelasan Takiyuddin pada Isnin minggu hadapan.
Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.
“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya. -Malaysiapost

