PENGERUSI Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pemansuhan lebih awal darurat secara senyap dan “backdated” membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah hilang majoriti dan gagal membeli banyak “katak”.
Najib berkata, Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tersilap langkah kerana memansuhkan darurat lebih awal kerana gagal memerangi wabak Covid-19.
“Memansuhkannya lebih awal merupakan pengangkuan bahawa darurat sudah gagal memerangi Covid dan sebenarnya tidak perlu dilaksanakan. Ianya hanya merosakkan keyakinan pelabur tanpa memberi sebarang manfaat pada negara.
“Memansuhkannya secara senyap dan secara backdated merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan hari ini sudah hilang majoriti dan mereka telah gagal membeli lebih banyak katak.
“Maka katak yang pernah lompat masuk untuk selamatkan diri akan mula berfikir untuk lompat keluar sebelum kerajaan tenggelam dan mereka dijadikan sasaran pihak lawan.
“Tiada siapa pernah kata bahawa katak yang lompat sekali tidak akan lompat kali kedua,” tulis Najib di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan semua ordinan darurat yang diisytiharkan tahun ini tidak boleh diguna pakai bermula 21 Julai.
“Ya, tak boleh pakailah,” kata Takiyuddin kepada Ahli Parlimen Bagan Lim di Dewan Rakyat.
Guan Eng memohon penjelasan sama ada Yang di Pertuan Agong telah perkenan terhadap pembatalan undang-undang itu.
Ketika darurat, Agong boleh mengisytiharkan ordinan darurat, undang-undang yang tidak perlu mendapatkan kelulusan parlimen.
Guan Eng bertanya sama ada semua denda dikeluarkan selepas 21 Julai sah. Setiausaha agung DAP juga mahukan penjelasan kenapa tiada pengumuman dibuat. – Malaysiapost

