Kebenaran rentas negeri bukan untuk beli nasi ganja – Arjunaidi

0
1

POLIS Kontinjen Selangor menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada mengeluarkan sebarang surat kebenaran rentas negeri untuk tujuan membeli ‘nasi ganja’ di Perak.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata surat kebenaran yang dikeluarkan dalam kes membabitkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, Perak baru-baru ini untuk membeli makanan berkenaan adalah untuk tujuan penyelenggaraan pesawat.

Menurutnya, pihaknya mengesan terdapat laporan portal media dengan tajuk yang mengelirukan dan memberikan gambaran tidak tepat berhubung kes berkenaan kepada masyarakat.

“Surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan hanyalah untuk tujuan penyelenggaraan pesawat yang melibatkan perjalanan dari Selangor ke Perak.

“Tajuk berita yang digunakan portal tersebut telah menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat dan boleh dianggap sebagai berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan berita bertajuk ‘Ada surat kebenaran rentas negeri untuk ambil nasi ganja’ oleh sebuah portal berita petang semalam.

Beliau berkata, penggunaan tajuk berkenaan tidak memberi gambaran tepat berhubung situasi sebenar kejadian tersebut sekaligus menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehubungan itu, pihak Polis Kontinjen Selangor mengingatkan para wartawan khususnya di negeri ini, supaya lebih sensitif dan peka dalam pemilihan tajuk agar berita yang disiarkan tidak menjejaskan atau menjatuhkan imej mana-mana pihak,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan sebuah syarikat berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mendarat di Padang Ipoh pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah dari sebuah restoran nasi kadar terkemuka di bandar raya Ipoh. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Polis Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here