Mulai esok pengumuman harian PKP diambil alih Hishammuddin

0
2

Nurul Huda Abhar

MULAI esok tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka Hishammuddin akan mengambil alih tugas yang beliau laksanakan sebelum ini berkenaan dengan Covid-19.

“Seperti yang semua maklum, Datuk Seri Hishammuddin bin Hussein telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan Covid-19.

“Sehubungan itu, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta SOP PKP akan diteruskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 20 Mac tahun lalu, beliau memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan).

Katanya, semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dikeluarkannya setiap hari sepanjang setahun, 4 bulan dan 6 hari.

“Setiap hari juga saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP berkenaan Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menzahirkan penghargaan kepada semua yang terbabit sepanjang penglibatannya sebagai Menteri Kanan (Keselamatan), bermula dari anggota pentadbiran, kementerian-kementerian terlibat, agensi, frontliners serta rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas dari Covid-19.

“Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat media yang sentiasa melaporkan perkembangan dari masa ke masa,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here