POLIS sedang melengkapkan siasatan berhubung kes amang seksual melibatkan seorang artis lewat 80-an terhadap seorang remaja perempuan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan daripada doktor bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.
“Kita turut merakam keterangan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan mangsa serta suspek,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Semalam, seorang artis lelaki lewat 80-an ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan Rabu lalu.
Menurutnya, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana menghidap penyakit jantung.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – Malaysiapost

