Pejuang bidas tamat darurat tanpa sembah maklum Agong

0
3
Khairuddin Abu Hassan

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dibidas kerana dikatakan tidak menyembah maklum penamatan proklamasi darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara ini disuarakan oleh Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan yang mempertikaikan tindakan kerajaan itu.

“Keseluruhan rakyat Malaysia ingin tahu adakah perdana menteri dan kerajaan ‘tebuk atap’ PN menyembah maklum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong mengenai ‘tarik balik’ semua ordinan darurat pada 21 julai 2021?!

“Situasi ini amat memalukan sama sekali kerana pemimpin-pemimpin kerajaan ‘tebuk atap’ PN memperlekehkan undang-undang serta perlembagaan negara!!

“Perdana menteri ‘cirit birit’ boleh buat pengumuman ke seluruh dunia tetapi untuk menarik balik ordinan darurat kenapa tidak umumkan secara rasmi?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairuddin, sepatutnya penamatan proklamasi darurat diumumkan secara rasmi oleh Yang di Pertuan Agong.

“KDYMM Yang di Pertuan Agong yang memasyhurkan proklamasi darurat sepatutnya DYMM Tuanku Agong lah yang kena memasyhurkan untuk tarik balik semua ordinan darurat.

“Mengapa tiada sebarang kenyataan yang dibuat oleh Istana Negara mengenai isu ‘tarik balik’ ordinan darurat ini?!

“Apakah menteri di jabatan perdana menteri cuba menipu dan mengelirukan rakyat?

“Kenyataan Takiyuddin Hassan selaku menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang tidak boleh diambil sebagai isu remeh kerana perbuatan ini amat tidak beretika!,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Khairuddin Abu Hassan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here