[Parlimen] KEHADIRAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan di Dewan Rakyat kerana telah membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Namun apa yang lebih mencuri perhatian adalah tanda nama yang dipakai di ‘suite’ beliau yang tertera Muhyiddin.
Ironinya, nama itu tidak selari di papan tanda nama yang diletakkan di blok beliau duduk.
Kelihatan jelas tanda nama itu tertera nama beliau ialah Mahiaddin, bukan seperti di tanda nama di bajunya.
Terdahulu, satu Memo Perhubungan Pejabat Perdana Menteri mengarahkan penggunaan nama ‘Mahiaddin Md. Yasin’ atau ‘Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Haji Md. Yasin’ bagi semua urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi kerajaan berkuat kuasa serta-merta.
Memo bertarikh 3 Jun 2021 itu berkata, ia susulan pandangan Jabatan Peguam Negara yang menyarankan semua dokumen rasmi yang memerlukan penggunaan atau tandatangan nama Perdana Menteri menggunakan nama rasmi beliau.
Memo yang ditandatangani Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri, Marzuki Mohamad itu dipercayai dikeluarkan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 April lalu membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Perdana Menteri yang menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri kerana tidak menggunakan nama dalam kad pengenalan (MyKad) iaitu Mahiaddin Md Yasin. – Malaysiapost

