‘Adakah anda anjing suruhan kerajaan?’- Ramkarpal soal Speaker

0
1

[Parlimen] HARI pertama Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini hangat dengan celahan serta pertanyaan Ahli Parlimen walaupun tidak sampai satu jam mesyuarat mula bersidang.

Lebih mencuri tumpuan adalah gelaran ‘lapdog’ atau anjing suruhan kerajaan yang dilontarkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ramkarpal mengeluarkan kenyataan itu selepas pihak pembangkang mempersoalkan kesahihan sesi lima hari sidang khas Dewan Rakyat berkenaan.

Ramkarpal bertanya jika Azhar berat sebelah terhadap kerajaan dan bukannya kekal berkecuali ketika prosiding di Dewan Rakyat.

“Adakah anda anjing suruhan? Adakah anda anjing suruhan kerajaan? Anda memalukan Dewan ini. Anda tidak layak untuk duduk di kerusi itu. Letak jawatan!,” katanya.

Kenyataan Ramkarpal yang disifatkan keterlaluan itu membangkitkan kemarahan Ahli Parlimen kerajaan meminta beliau menarik balik perkataan berkenaan.

Teriakan ‘tarik balik’ dan ‘kurang ajar’ daripada blok pembangkang mengegarkan suhu Dewan Rakyat pagi tadi, selain ada menyifatkan kenyataan itu keterlaluan.

Desakan itu bagaimanapun tidak membuatkan Ramkarpal daripada terus mempersoalkan Azhar tentang kenapa pengisytiharan darurat dan ordinan-ordinannya tidak dibawa bincang di Parlimen.

“Kamu harus faham yang peraturan Dewan tidak boleh menggantikan perlembagaan. Adakan kamu menerima arahan daripada kerajaan untuk tidak membawa isu-isu ini untuk dibincangkan di Parlimen?

“Adakah ini agenda kamu? Jika ya, sila letak jawatan,” tambahnya, ditengah panggilan untuk beliau meninggalkan Dewan.

Ramkarpal berkata, jika Speaker tidak mahu meletak jawatan, Ahli Parlimen pembangkang akan mengemukakan usul tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here