TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berterusan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan membawa suara rakyat agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos.
Beliau juga menyatakan desakan Umno berhasil setelah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memutuskan tidak akan mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu selepas 1 Ogos.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno melalui Kenyataan Media bertarikh 25 Julai 2021 telah menggariskan ketetapan Umno mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang perlu dibatalkan dan tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada YB Presiden Umno dan kepimpinan Umno secara berterusan telah menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan membawa suara rakyat agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 ini.
“Saya yakin hasil daripada desakan berterusan daripada parti Umno seperti ini telah membuahkan hasil sehingga Kerajaan Persekutuan akur kepada desakan-desakan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, Takiyuddin mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baru apabila tamat pada 1 Ogos 2021.
Keputusan tersebut berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini adalah dibatalkan. – Malaysiapost

