Keputusan batal Ordinan Darurat tanpa makluman dipersoal

0
2

KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan tidak memaklumkan kepada umum keputusan membatalkan Ordinan Darurat.

Beliau berkata, perkara itu hanya diketahui dalam persidangan Parlimen hari ini bahawa enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini? Benar, Parlimen merupakan medan terbaik untuk membahaskan isu-isu dasar berkepentingan negara tetapi untuk suatu keputusan besar seperti pembatalan darurat, mengapa tiada pemakluman awal kepada umum?

“Bermakna, selama 5 hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara.

“Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undang darurat masih terpakai?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril berkata, adakah keputusan pembatalan awal itu dibuat kerajaan bagi mengelak prosedur perbahasan, kerana semalam Umno menjelaskan mahu membahas dan membatalkan ordinan darurat berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan segera bagi mengelak kekeliruan berhubung status darurat berkenaan.

“Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal? Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat? Adakah telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, tindakan kerajaan membatal Ordinan Darurat itu kerana mengetahui ia tidak dapat dilanjutkan lagi memandangkan Agong dan rakyat tidak akan bersetuju.

“Dan juga kerana mereka (kerajaan) takut untuk bahas dan undi untuk meluluskan Ordinan Darurat ini di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebab jika mereka bahas dan undi usul ini, besar kemungkinan mereka akan kalah dan Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) perlu letak jawatan,” katanya.

Namun, katanya, walaupun Ordinan Darurat dibatal, kerajaan masih perlu membentang dan mengundi untuk kelulusan secara retrospektif.

“Ini penting untuk tujuan akauntabiliti dan semak imbang tentang keberkesanan dan ketelusan perlaksanaan Ordinan ini sepanjang tempoh darurat yang lepas dan supaya jika ada apa-apa elemen salah guna kuasa semasa tempoh darurat ia tidak terlepas begitu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here