‘Pembangkang tak perlu menjerit-jerit macam kera dapat bunga’

0
1
Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini menunjukkan perangai sebenar Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, hakikatnya pembangkang tiada niat atau rancangan membantu rakyat sebaliknya tahu ‘menjerit’ untuk menganggu usaha kerajaan membantu rakyat.

“Belum sampai satu jam parlimen bersidang, perangai sebenar ahli parlimen pembangkang dah terserlah.

“Pembangkang seperti tak ada niat atau rancangan untuk bantu rakyat. Yang mereka tahu hanyalah menjerit menganggu usaha kerajaan bantu rakyat

“Inilah sebenarnya wajah pembangkang. Hanya tahu menjerit dan meloncat macam kera dapat bunga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, adalah wajar sekiranya Sidang Khas itu digunakan untuk mendengar pembentangan kerajaan dan kemudian memberi cadangan tambahan untuk kebaikan rakyat.

“Kerajaan sudah buka pintu untuk pembangkang menyumbang. Sidang parlimen dah dipanggil. Kerajaan juga setuju lantik pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara.

“Malahan peruntukan bantu rakyat pun kerajaan dah bagi kepada pembangkang. Kalau semua ini disambut dengan baik dan PH tunjuk kesediaan bekerjasama dengan kerajaan, manfaatnya untuk rakyat juga nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan banyak bantuan rakyat dipotong atau dihapuskan dengan alasan kerajaan tiada duit.

“Ingat lagi RM30 yang PH bagi? Masa kerajaan banyak duit, dia bagi RM30. Masa kewangan kerajaan terhad sekarang ni, agaknya berapa yang dia nak bagi? RM30 lagi?

“Lebih buruk, apabila kerajaan sekarang nak bentangkan dalam parlimen rancangan penuh untuk bantu rakyat, mereka cuba sedaya upaya untuk ganggu,” katanya.

Beliau berkata, masa untuk bersaing akan sampai namun sekarang bukan masanya.

Terdahulu, tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat hari ini panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here