6 termasuk 3 penjawat awam ditahan kes bolot projek

0
1

SEORANG jurutera daerah antara enam individu yang direman kerana disyaki memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan projek ditawarkan sebuah agensi Pusat di Mersing, Johor, sejak 2018.

Penolong Pendaftar, Faridatul Farrah Mohd Shukri, membenarkan tahanan reman selama lima dan tujuh hari selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Kesemua suspek berusia di antara 31 hingga 44 tahun itu dipercayai mengawal 11 syarikat didaftarkan atas nama mereka dan proksi untuk membolot projek agensi Pusat berkenaan yang ditawarkan di daerah itu, lapor Berita Harian.

Seorang penolong jurutera wanita berusia 30-an direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Julai ini, manakala lima individu lain direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Adahikmah Abu Bakar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, SPRM menahan enam individu termasuk seorang jurutera daerah dan dua penolong jurutera sebuah agensi pusat di Johor kerana disyaki menerima rasuah dari kontraktor di daerah yang dikawal selia mereka, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Sumber berkata, tiga kontraktor turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak 2018.

Projek yang dimonopoli juga mencecah jutaan ringgit sejak 2018 hingga tahun ini, selain pelbagai bentuk suapan rasuah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian, wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, mengesahkan tangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here