
KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 lokaliti membabitkan Kelantan, Sabah, Perak, Terengganu dan Kedah bermula Selasa ini hingga 9 Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 14 daripada lokaliti berkenaan adalah di Kelantan, manakala lapan lagi di Sabah, empat di Perak dan masing-masing satu di Terengganu dan Kedah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 14 kampung di Pasir Puteh, Kelantan dikenakan PKPD iaitu enam lokaliti Mukim Bukit Jawa membabitkan Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar, Kampung Bukit Bidang dan Kampung Bukit Merbau.
“Lapan lagi lokaliti adalah di Mukim Bukit Abal iaitu Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Mananam, Tongod; Taman Semarak Megah, Tawau; Kampung Sangkabok, Menumbok; Ladang Belian, Kalabakan, Kampung Batandok dan Kampung Menanjung, Beaufort; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya, Sipitang serta Kampung Sumaang, Ranau.
“Empat Kampung Dalam Mukim Ulu Selama, Perak turut dikenakan PKPD membabitkan Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah.
“Di Terengganu membabitkan Kampung Teluk Menara, Mukim Manir, Kuala Terengganu dan di Kedah membabitkan Kampung Bukit Malut, Pulau Langkawi,” katanya.
Ismail Sabri berkata, satu lagi lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh yang dijadualkan tamat PKPD pada esok dilanjutkan hingga 9 Ogos ini berdasarkan situasi semasa Covid-19 di kawasan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, PKPD di sembilan lokaliti membabitkan lapan di Sabah dan satu di Damai Apartment, PJS 8 di Damansara, Selangor ditamatkan mulai esok. – Malaysiapost
