SEBANYAK 82,249 pemeriksaan dijalankan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam membabitkan kilang dan premis perniagaan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemeriksaan termasuk ke atas 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 buah asrama penempatan pekerja.
“Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 482 individu pula ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata menerusi Op Benteng seramai lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan semalam dan dua kenderaan darat turut dirampas. – Malaysiapost

