Arab Saudi hulur bantuan tangani Covid-19

0
1

MALAYSIA bakal menerima sumbangan bantuan daripada kerajaan Arab Saudi dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman, menerusi panggilan telefon hari ini.

“Saya baru sahaja berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Duli Yang Amat Mulia Mohammad Salman.

“Putera Mahkota memaklumkan Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman sendiri telah menitahkan supaya KSrelief segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, ia adalah satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad Salman dan kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini.

“Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan sekali gus memastikan titah Raja Salman ini berjalan lancar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here