JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memaklumkan beliau dan pasukannya akan berlepas ke Jepun hari ini untuk beraksi di Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata, keberangkatannya ke temasya sukan berprestij itu bukan hanya membawa misi peribadinya semata-mata tetapi harapan 32 juta rakyat Malaysia.
“Perginya saya kesana bukan hanya membawa misi peribadi tetapi juga misi penting negara. Saya sahut dan galas cabaran tersebut demi 32 juta rakyat Malaysia yang berada di belakang saya.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam membantu persiapan saya kali ini,” tulisnya di Facebook.
Beliau berkata, selepas tujuh minggu berada di tanah air termasuk dua minggu kuarantin dan lima minggu kem latihan di Nilai, Negeri Sembilan kini beliau bersedia berangkat ke negara matahri terbit itu.
“Alhamdulillah, di kesempatan ini juga saya ingin memohon kemaafan kepada semua pihak jika saya ada tersilap mahupun terkasar bahasa secara sengaja ataupun tidak sengaja.
“Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa yang tidak lekang dari kesilapan dan saya ingin pergi berjuang dengan jiwa yang aman. Malaysia Boleh!,” katanya.
Pada Olimpik Rio 2016, Azizulhasni muncul pelumba basikal pertama negara meraih pingat di temasya utama dunia itu apabila memenangi gangsa dalam acara keirin.
Di Tokyo kali ini, ‘The Pocket Rocketman’ itu akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan sasaran kontinjen negara pada Sukan Olimpik kali ini dengan misi membawa pulang tiga pingat termasuk satu emas dari Tokyo. – Malaysiapost

