MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing disahkan negatif Covid-19.
Annuar dan Nik Mohamad Abduh masing-masing secara berasingan mengesahkan mereka negatif virus itu, lapor Bernama.
Annuar menafikan perkara itu dengan mendakwa kesihatannya baik: “Saya baik dan sihat,” katanya ringkas.
Manakala Nik Mohamad Abduh juga dalam respons ringkas berkata: “Alhamdulillah negatif,”.
Pegawai Komunikasi Strategik kepada Mohd Rashid, Muhammad Afiq Mohd Hanif berkata, selain Ahli Parlimen Batu Pahat itu, semua pegawainya juga didapati negatif Covid-19 selepas menjalani saringan di Parlimen semalam.
“Semua pegawai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah negatif selepas ujian (saringan) yang dijalankan di Parlimen dan Datuk Mohd Rashid juga negatif. Datuk (Mohd Rashid) ada buat ujian sendiri (di klinik swasta) tadi dan keputusannya juga negatif,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima laporan penuh daripada ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada Khamis dan semalam di Dewan Rakyat.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah 35 individu dalam kalangan ahli Parlimen serta pegawai mereka disahkan positif Covid-19 termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Memetik laporan media berkenaan, Ahli Parlimen mempunyai kontrak rapat dengan mereka dan kini dipercayai sedang membuat ujian calitan.
Malah laporan itu juga menyebut Nik Mohamad Abduh dan Mohd Rashid turut positif Covid-19.
Persidangan khas Parlimen dijangka bersidang selama lima hari bermula esok hingga 29 Julai dan 2 Ogos. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

