BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa bimbang dengan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia yang semakin meruncing.
Menurutnya, kini kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital juga meningkat dan ramai yang sedang bertarung nyawa akibat virus tersebut.
Katanya, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan sedang kritikal selepas positif Covid-19 dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam juga sedang menerima rawatan di hospital angkara virus itu.
“Ramai sedang bertarung nyawa di hospital akibat Covid-19.
“Difahamkan Ketua Pemuda PH dalam keadaan kritikal. Keluarganya juga positif Covid-19 dan sedang kuarantin di rumah.
“Saudara Lokman Adam juga berada di hospital untuk rawatan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Najib juga menitipkan doa kepada Shazni Munir dan Lokman Adam agar diberikan kekuatan serta cepat sembuh daripada virus Covid-19.
“Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada mereka dan cepat sembuh. Doakan yang sihat sentiasa dilindungi daripada wabak ini,” ujarnya.
Semalam, Malaysia mencatatkan 15,902 kes baharu dan yang tertinggi pernah direkodkan sejak virus Covid-19 melanda negara.
Jumlah kematian akibat Covid-19 pula menghampiri 8,000 kes dengan 184 kematian baharu dilaporkan semalam.
Dengan jumlah tersebut, jumlah maut akibat virus tersebut kini 7,902 kes. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

