TIDAK sempat sampai ke hospital menyebabkan seorang ibu terpaksa melahirkan bayi perempuannya di dalam kereta di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Seksyen U8 Shah Alam, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata dalam kejadian pada jam 7 malam itu wanita berusia 29 tahun itu difahamkan, dalam perjalanan ke hospital bersama suaminya.
“Pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Puncak Alam ke Hospital Shah Alam.
“Bagaimanapun, wanita itu merasa sakit dan air ketubannya sudah pecah lalu mereka memasuki perkarangan BBP Kota Anggerik untuk mendapatkan bantuan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, wanita itu kemudian selamat melahirkan bayi perempuan dengan bantuan pegawai bomba, Norsyuhadah Ahmad.
Katanya, bayi itu kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan ( KKM ) untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, bayi tersebut merupakan anak kelima kepada pasangan berkenaan. – Malaysiapost

