SEORANG orang kurang upaya (OKU) yang keleparan dan terbaring di luar sebuah stesen minyak di Damansara Indah, Persiaran Surian Kota Damansara, dibantu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menerima maklumat mengenai individu berkenaan hari ini.
Lelaki OKU Sindrom Down itu dipercayai terbaring atas lantai di kawasan stesen minyak terbabit akibat terlalu lapar.

IPD Petaling Jaya dalam satu perkongsian di Facebook hari ini, memaklumkan Pusat Kawalan (DCC) menerima maklumat mengenai keadaan lelaki terbabit.
“Susulan itu Unit Kereta Peronda (MPV) diarahkan ke stesen minyak terbabit dan mendapati lelaki berkenaan dalam keadaan terbaring.
“Koperal Saifullah dan Koperal Shafiq atas dasar prihatin dengan bantuan orang awam telah memberi sedikit makanan kepada lelaki terbabit,” katanya.
Menurutnya, lelaki OKU berkenaan kemudian dihantar pulang ke rumahnya di Setia Alam, Shah Alam dengan menaiki kenderaan Grab atas bantuan orang awam.

“Terima kasih di atas inisiatif saudara Koperal Saifullah dan Koperal Shafiq di atas keperihatinan dan bantuan yang dihulurkan,” katanya. – Malaysiapost

