ISU pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman adalah contoh mengapa Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau gembira kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil langkah positif memperkenalkan peraturan lebih berwibawa berkaitan pendanaan politik.
Beliau mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tidak serius dalam mewujudkan peraturan tersebut.
“Saya pernah dilantik oleh kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Datuk Seri Najib Razak. Tetapi entah apa berlaku kepada laporan yang kami sediakan.
“Semasa era Pakatan Harapan (PH) saya dilantik semula menyertai Electoral Reform Committee (ERC) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ada laporan yang komprehensif telah disediakan.
“Alhamdulillah kerajaan PN menerima laporan itu dengan baik, dan ia telah dibawa ke Kabinet. Saya lihat ada pergerakan positif sekarang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata beliau telah mungusulkan kepada Kabinet agar diputuskan segera bagaimana untuk melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan ERC, termasuklah dalam hal pendanaan politik.
Jika tidak diselesaikan segera, katanya, isu Syed Saddiq mungkin menjadi lebih besar.
“YB Syed Saddiq mungkin akan terus cekal, tetapi lebih baik kita tutup pintu-pintu kemudaratan akibat ketiadaan peraturan jelas.
“Contohnya, selain daripada kes yang beliau hadapi, bagaimana dengan sumbangan yang YB Syed Saddiq raih daripada masyarakat untuk kos peguam dan ikat jamin?
“Para penderma pasti ikhlas mahu membantu, dan YB Syed Saddiq pun sudah nyatakan beliau akan menyediakan laporan audit. Tetapi adakah dana tersebut akan dikenakan cukai?
“Adakah dana itu perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu atau pendapatan syarikat, atau pendapatan apa? Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik,” katanya lagi.
Beliau berkata semua itu memerlukan satu akta yang jelas mengenai pendanaan aktiviti politik.
Wan Saiful turut membidas Syed Saddiq yang didakwa terburu-buru mendakwa bahawa pendakwaan terhadapnya ialah satu pendakwaan terpilih dan kononnya diugut jika enggan sertai PN.
“Jika betul diugut, segera lapor kepada polis supaya perkara jelek ini dapat dihapuskan. Jika tidak dapat dibuktikan dengan tuntas, maka beliau mesti menghentikan lakonan supaya segala simpati tidak hilang begitu sahaja,” katanya.
Katanya lagi, Pakatan Harapan (PH) pula cuba menangguk di air keruh, mendakwa kononnya curiga kenapa pendakwaan dilakukan sekarang sedangkan kesalahan itu berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Saya nak tanya kembali kepada PH, kalau dah tahu kesalahan itu berlaku sebelum PRU14, kenapa semasa PH memerintah Syed Saddiq tidak didakwa? Adakah berlaku “pengecualian terpilih” yang tidak dimaklumkan kepada kami yang turut berada dalam PH masa itu?
“Kalau curiga, sebenarnya PH yang perlu jawab hal ini sebab curiga itu wujud di zaman PH. Bukan sekarang. Adakah ada apa-apa PH sembunyikan selama ini? Saya tengok peguam DAP begitu menonjol dalam mempertahankan kes ini,” katanya.
Kelmarin, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

