Doktor kontrak dirayu tidak teruskan mogok

0
1
Penduduk-penduduk penghuni Flat Pelangi Damansara diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari kedua ujian saringan sesi petang berikutan 23 orang penduduk disahkankan positif Covid-19 pada 21 Oktober yang lalu.

PEGAWAI Perubatan atau doktor lantikan kontrak diminta tidak meneruskan mogok ketika kapasiti sistem kesihatan negara berada pada tahap kritikal susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan kumpulan terbabit menerima tawaran kerajaan untuk pelanjutan kontrak dua tahun seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Beliau merayu agar tindakan mogok tidak diteruskan kerana ia hanya akan menghukum pesakit tidak berdosa.

“Kesianlah dengan pesakit-pesakit yang sedang bertarung nyawa. Mereka tidak berdosa dan juga adalah mangsa kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Hari itu, saya saran kerajaan jangan kedekut dengan doktor yang sudah sangat tertekan pada zaman pandemik dan ini bukan masa untuk runding-berunding. Tapi kerajaan PN degil,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, pasti ada yang akan menyindir bahawa doktor kontrak terbabit bermula masa kerajaan Barisan Nasional (BN), namun jika keputusan itu silap mengapa Pakatan Harapan (PH) dan PN tidak memperbetulkannya ketika memerintah.

“Namun, situasi sekarang sudah sangat berbeza dengan masa dahulu masa kerajaan BN.

“Doktor-doktor kontrak sudah buktikan ketabahan, kesabaran, pengorbanan dan kebolehan mereka sambil menghadapi risiko tinggi pada pandemik ini. Saya dan seluruh rakyat Malaysia amat hargai jasa-jasa kalian,” katanya.

Najib berkata, pandemik yang melanda juga membuktikan wujudnya keperluan bagi lebih ramai doktor tetap kerajaan dan ia membabitkan masalah dana serta perancangan logistik yang boleh diatasi pada masa depan.

“Sebab itu, saya saran doktor-doktor ambil dulu tawaran sambungan kontrak dua tahun ditawar kerajaan PN. Jangan mogok dan hukum pesakit tidak berdosa.

“Saya dan ahli keluarga pesakit secara ikhlas rayu pada kamu. Pada masa depan, kerajaan BN akan perbetulkan dan akan mengembalikan keadilan pada kamu,” katanya.

Muhyiddin semalam, memaklumkan Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Namun difahamkan, mogok atau hartal doktor kontrak tetap akan diteruskan Isnin ini selepas kumpulan itu kecewa dengan keputusan kerajaan yang tidak menyentuh soal status pelantikan mereka ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here