Dana RM20 juta diurus bersama 20 NGO, influencer – Nadir

0
2

Nurul Huda Abhar

DANA RM20 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) bukan diuruskan pertubuhan itu sendirian, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Beliau menjelaskan, dana tersebut dikumpul bersama rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah MyAqsa Defenders yang melibatkan gabungan kira-kira 20 NGO diterajui golongan muda.

Katanya, ia turut dianggotai seramai 23 influencer termasuk Fedtri Yahya, Faizal Tair serta Heliza Helmi.

“Mereka ini telah lama bersama dengan kita berjuang untuk rakyat Palestin dan tempat-tempat lain dalam melaksanakan misi kemanusiaan,” katanya ketika sesi ‘town hall’ yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.

Muhammad Nadir berkata adalah tidak munasabah jika CGM melakukan penipuan kerana usaha yang dilaksanakan melibatkan banyak pihak termasuk NGO serta golongan influencer.

“Penipuan itu kalau dibuat seorang logik, kalau dibuat secara berjemaah tak logik. Apa pun pecahan duit ini kita sudah bentangkan, kita berjanji ia (dana) akan diuruskan dengan lebih sistematik.

“Kalau yakin boleh terus menyumbang kepada kami, kalau tidak yakin boleh (menyumbang) kepada NGO lain yang turut membantu Palestin, kami tak kisah asalkan ia sampai kepada bumi Palestin.

“Pada masa sama, kami juga mengalu-alukan NGO lain masing-masing bentangkan laporan pendapatan mereka,” katanya sambil menambah CGM tidak menerima dana sebanyak RM20 juta setiap tahun seperti didakwa.

Terdahulu, persoalan mengenai dana sumbangan RM20 juta dikaitkan dengan CGM dibangkitkan Ebit Lew yang minta Muhammad Nadir mengemukan bukti pengagihan dana itu semasa siaran langsung di media sosial pendakwah tersebut baru-baru ini.

Ebit menerusi sidang media itu meminta Muhammad Nadir mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk di Palestin.

Sementara itu, menerusi sesi ‘town hall’ tersebut, CGM turut mengesahkan semua perbelanjaan dan laporan kewangannya mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Penasihat bebas audit dalaman CGM, Mohd Faizal Suleiman berkata pihak persatuan juga telah melantik juru audit luar yang bertauliah untuk melaksanaan pemeriksaan audit secara sah.

“CGM mengambil pendekatan di mana NGO ini juga mampu untuk melantik juru audit luar bertauliah bagi memastikan pengurusan kewangan diurus secara integriti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here