KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana didakwa gagal membendung lonjakan kes Covid-19.
Beliau berkata, lonjakan tinggi kes harian Covid-19 sehingga ramai meninggal dunia serta golongan terjejas akibat hilang pendapatan semakin bertambah, bukti kegagalan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Jamal meminta Muhyiddin mengembalikan pentadbiran kerajaan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum mandat itu diserahkan semula kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sehingga keadaan Covid-19 stabil biarlah (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri dan buat rombakan Kabinet supaya keadaan Covid-19, ekonomi, sosial dan masyarakat dapat ditangani.
“Paling penting pendidikan anak-anak yang sudah terabai lebih setahun, keadaan ini tak boleh berterusan untuk masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, sebanyak 15,573 kes baharu Covid-19 dilaporkan iaitu tertinggi di Malaysia sejak wabak itu melanda. – Malaysiapost

