KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berharap tawaran baharu pelanjutan kontrak bagi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak akan memberi ruang kepada kementerian itu mengkaji kaedah lebih baik demi kebajikan kumpulan berkenaan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata pelanjutan kontrak itu adalah langkah interim dan KKM akan mengkaji kaedah yang boleh dilaksanakan dalam masa dua tahun untuk mendapatkan jawatan lebih tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.
Menurutnya, ia juga bagi membolehkan penambahbaikkan Akta Kesihatan 1971 dilaksanakan.
“KKM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan kerana mempertimbang pelanjutan tempoh kontrak khidmat wajib selama dua tahun bagi pegawai perubatan lantikan kontrak.
“Ini bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, dari data yang KKM peroleh sejak 2014 hingga 2020 didapati kira-kira 600 pegawai perubatan meletak jawatan atas pelbagai sebab dan ia jumlah yang tinggi.
“KKM berpandangan pegawai perubatan ini akan sentiasa setia dengan perkhidmatan apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.
“Kita harap dengan tawaran baru diumumkan Perdana Menteri akan beri harapan bagi kita teliti semula bagaimana kita boleh kaji jawatan tetap dan sebagainya dalam masa interim ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman yang turut serta dalam sidang media itu, mendedahkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini terdapat 163 pegawai perubatan meletak jawatan di Selangor.
“Pegawai perubatan ini letak jawatan kerana pelbagai sebab antaranya pada masa sekarang ini kalau kita lihat imbuhan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lebih tinggi dan mungkin mereka beralih ke PPV.
“Ada juga yang mengambil alih klinik keluarga, selain menukar bidang kerja.
“Saya ada jumpa pegawai perubatan yang bertukar bidang menjadi jurugambar dan bidang perkomputeran kerana pendapatan lebih tinggi,” katanya.
Muhyiddin dalam kenyataan hari ini mengumumkan Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawar pelanjutan kontrak dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk mengikuti pengajian kepakaran. – Malaysiapost

