SEBANYAK 66 premis meliputi 16 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan 78,021 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,756 kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 asrama penempatan pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu Ismail Sabri berkata Operasi BENTENG semalam menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tujuh PATI diusir keluar melalui dua aktiviti pengusiran dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, operasi itu turut menjalankan 890 sekatan jalan raya (SJR). – Malaysiapost

