Pelakon Prebet Lapok meninggal dunia

0
2

BINTANG filem Prebet Lapok, Tawil, 68, meninggal dunia selepas sesak nafas di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kepong Kuala Lumpur jam 2.30 pagi tadi.

Berita pemergian Tawil atau nama sebenar Abu Bakar Ahmad dikhabarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Namun, maklumat mengenai urusan pengebumian tidak dinyatakan dalam hantaran tersebut.

Allahyarham Tawil bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta kemasyhuran menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, gelagat lucu dan kerenah arwah bersama bintang utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.

Malah, gandingan dua bintang dalam filem bergenre patriotik itu mampu meniupkan roh semangat perjuangan hinggakan ramai anak muda tertarik menyertai pasukan angkatan tentera pada 1979.

Filem Prebet Lapok adalah penampilan pertama arwah menerusi layar perak pada usia 29 tahun, selepas hampir lapan tahun bergiat aktif dalam dunia pementasan teater dan bangsawan.

Selain itu, arwah turut membintangi deretan filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here