
TAN Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos, semalam.
Perdana Menteri berkata, menerusi jumlah tersebut 10,920,862 individu telah menerima dos pertama sehingga semalam dan sejumlah 5,104,054 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
“Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7 peraturs daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula telah mendapat dos yang penuh.
Muhyiddin berkata, pencapaian tersebut selari dengan sasaran yang ditetapkan dan perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.
Katanya, sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.
“Dengan vaksinasi, kita akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah.
“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK, terutamanya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini,” katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi hantaran di laman Twitter memaklumkan lima negeri yang mencatatkan pemberian vaksin tertinggi sehingga semalam ialah Selangor dengan 131,222 orang, disusuli Kuala Lumpur (88,383), Sarawak (53,579), Negeri Sembilan (23,986) dan Johor (36,369). – Malaysiapost
